Jumaat, 22 Julai 2016

Doa orang teraniya

Hari ini kita kongsi doa orang teraniaya ya.

Baca setiap kali solat. Allah maha mendengar jangan doa yang buruk-buruk ye kawan-kawan.

1) Mohon pada Allah , untuk menggantikan penipuan dan sebagainya dengan rezeki yang lebih baik dan bertambah-tambah
" Allahuma ajurni fi musibati, wakh lufti khairan minha" .
Sangat mujarab bagi orang-orang yang dizalimi dan cepat pula dapat jawapan dari Allah.

atau

2 ) Baca doa dalam bahasa kita . Ya Allah mereka/dia (nama orang tersebut) telah menzalimi ku.  Kau berikanlah balasan yang setimpal kepadanya Ya Allah. Dan bantulah aku keluar dari kesusahan ini. Aaminn.

atau

3) Biarlah Allah balas mereka di Padang Mahsyar. Tuntut dari Allah segala pahala orang tersebut berpindah kepada kita.


Jamuan Raya Tadika Firdaus

15 Julai 2016

Tiap-tiap tahun sekolah Firdaus akan adakan jamuan raya. Mana-mana sekolah pon samakan setiap tahun akan menyambut hari raya. Meraikan selama sebulan sudah berpuasa. Kanak-kanak yang amat gembira meraikan Syawal.
Pada jamuan tersebut murid-murid akan memakai pakaian raya yang berwarna-warni dan akan membawa sedikit makanan untuk di makan bersama.
Tradisi menyambut raya di sekolah sudah lama telah diadakan dari zaman saya sekolah lagi sekitar tahun 90 an. Mungkin tradisi ini telah lama diadakn dari zaman emak-emak kita kan.
Tahun ini Firdaus bawa Ketupat Palas dan Rendang Ayam. Ketupat Palas saya hanya menempah pada seorang pennduduk yang tinggal di kawasan saya. Harga Rm 0.60 untuk sebiji. Rendang ayam sahaja saya buat ye.  hihi. Kalau dahulu saya ke sekolah apabila jamuan raya mak akan bekalkan biskut raya. Sekarang lebih meriah kadang-kadang ada ibubapa yang menyediakan spageti goreng, mee rebus dan macam-macam lagi.

Jumaat, 3 Jun 2016

Berkerja

Assalamualaikum.

Maaf lama sungguh saya tidak kemaskini blog kesayangan ini. Sebenarnya saya sudah memulakan perkerjaan baru sekarang. Berkerja sebagai kerani di tadika anak saya. Saya tidak sangka akan di panggil berkerja. Pada awalnya saya terlihat post gi group kawasan penduduk tempat tinggal saya. Saya terus mencuba nasib dan pergi temuduga. Selepas beberapa hari saya di panggil untuk mula berkerja pada 9 Mei 2016.
 Kebetulan pula tempat kerja saya menyediakan kemudahan kepada pekerja untuk meletakkan anak di pusat jagaan. Cas pula dikenakan hanya RM60 unntuk bayi dan kanak-kanak. Alhamdulillah rezeki Firdaus dan Aqilah. Manakala yuran tadika Firdaus juga di beri potongan. Sebelum ini bayar Rm130 sekarang hanya Rm70 sahaja. 
Keputusan berkerja ini saya ambil setelah berbincang dengan suami kerana banyak tanggungan yang di fikirkan perlu di jelaskan tiap-tiap bulan. Jualan perniagaan handsock pula kurang memberangsangkan. Dengan keadaan ekonomi sekarang terpaksa berkorban untuk tinggalkan anak sekejap. Alhamdulillah Allah permudahkan semua urusan. Semoga Allah juga memudahkan semua urusan kita di hari-hari mendatang. Aamiin.

Sabtu, 9 April 2016

Cuci Gigi Atau Scaling Gigi

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 9 April 2016
Foto : Google

Alhamdulillah terlaksana juga hasrat saya hendak cuci gigi atau di panggil Scaling gigi.  Sebenarnya sudah lama hasrat ini hendak dilakukan tetapi takut malu semua ada almaklumla gigi banyak sangat karang gigi.  Malu hendak buka mulut sebesarnya kepada doctor gigi.  hihi

Rasanya sudah lebih kurang 7 tahun gigi tidak di cuci.  Itu pon kebetulan semasa ingin check up gigi kerana mengandungkan Firdaus anak sulong maka nurse yang check tersebut terus sahaja melakukan scaling gigi ke atas saya.  Alhamdulillah masa mengandungkan Firdaus alahan tiada sangat, jadi tidak saya termuntah semasa proses tersebut dilakukan.

Al kisahnya pada sabtu lepas Firdaus mengadu sakit gigi. Apabila saya lihat ternampak seperti giginya rongak dimakan ulat susu tetapi Firdaus jarang minum susu ketika umurnya sudah masuk 6 tahun.  Jadi setiap kali lepas makan dan sebelum tidur,  saya minta Firdaus gosok gigi dahulu.  Jadi saya dan suami ambil keputusan akan bawa Firdaus check giginya di Klinik Pergigian Serendah (Klinik Kesihatan Serendah) pada hari Isnin kerana Sabtu dan Ahad kan cuti.  hihihihi

Selepas habis waktu sekolah Firdaus kami terus ke Serendah.  Kebetulan saya dan suami pon mahu cuci gigi.  Setiba di kaunter pendaftaran apabila memberi kad pengenalan Firdaus dan saya, staff yang bertugas akan bertanya masalah gigi kita dahulu.  Tetapi malang untuk Firdaus kerana kanak-kanak pemeriksaan gigi hanya dilakukan pada hari Jumaat.  Dan malang juga untuk saya kerana mesin untuk cuci gigi tersebut rosak.  hahahaha.  Jadi doctor hanya melakukan pemeriksaan gigi dan membuat temujanji kena datang Jumaat (8 April ) Ok boleh doctor saya menurut perintah.  hihihi
Suami pula dapat melaksanakan hasratnya kerana bilik yang suami masuk mesin mencuci gigi dalam keadaan elok.  Untuk makluman terdapat 3 bilik pemeriksaan gigi di Serendah.
  
Saya bertanyakan suami bagaimana cuci gigi sakit tak jawabnya tidak tetapi ngilu dan darah semestinya banyak.  Semasa itu takut betul hendak melakukannya.  hahaha.  Doctor pesan kepada suami kena 6 bulan sekali check ye.

Ok Jumaat tiba saya pon ke Serendah untuk temujanji jam 9.30 pagi.  Lama juga saya tunggu jam 10.40 pagi baru nombor di panggil.  Lebih kurang hampir jam 11.00 gigi siap di cuci.  Semasa proses tersebut 3 kali saya termuntah ok serius tidak selesa tetapi kena tahan hendak gigi cantik kan.  Alhamdulillah doctor sangat baik dan melakukan dengan lembut sekali.  Saya suka doctor tersebut perwatakan pon lembut.  Doctor cakap kena check gigi 4 bulan sekali dan selepas ini gusi akan bengkak dan kena kumur dengan air garam.

Bayaran yang di kenakan RM 2 sahaja.  Kalau pergi ke klinik swasta dalam Rm 100++ juga tetapi hasil sama sahaja cuma di kerajaan kena tunggu lama sedikit.  Selepas gigi di cuci saya terus ke bilik air dan berkumur.  Darah memamg banyak kena selalu kumur bila sampai di rumah.  Hendak makan pon sayang kerana gigi sudah cantik.

Semasa 2 ke 3 hari gigi akan terasa ngilu kerana terdapat lubang antara gusi dan gigi yang selama ini ada karang gigi.  Dan lidah suka bermain dengan gigi kerana gigi sudah bersih.  hihihi.  Dalam seminggu dua jangan makan benda yang keras kerana gusi akan sakit nanti.  Begitu juga dengan biskut dan air kafein seperti kopi. Selalulah gosok gigi selepas sarapan dan sebelum tido. Sebenarnya memberus sahaja tidak cukup jadi mesti kena juga scaling gigi ya.  Seronok sangat gigi dah bersih dan tiada karang hendak senyum pon tidak malu-malu lagi.  hihihi
Jom layan gambar sumber dari google ye.

Alat yang digunakan untuk membuang karang gigi

Karang gigi biasa melekat pada bawah dan belakang gigi hadapan





Jumaat, 25 Mac 2016

Fenomena Alam El Nino

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 25 Mac 2016

Alhamdulillah anak-anak di beri kesihatan yang baik setelah demam berpanjangan selama seminggu.
Saya serta suami bergilir-gilir tidur menjaga si kecil Aqilah.  Demam silih berganti bermula dari ayahnya.  Selepas ayah sudah sembuh anak yang kecil pula demam, batuk dan selesema.  Maka saya pula yang berjangkit selesema dan batuk dari anak.  hihi
Musim El Nino ini akan berpanjangan sehingga June 2016. Maka elakkan aktiviti di luar dan perbanyakkan minum air masak ye.  Saya semasa rasa sahaja gatal tekak terus dapatkan airkrim vanila dan banyakkan air masak secukupnya.  Insha Allah cepat sembuh.
Khabarnya pada tahun ini banyak fenomena alam yang akan terjadi selepas gerhana matahari yang berlaku baru-baru ini.  Kalau hendak tahu lebih lanjut boleh google ye.  Saya kurang mahir tentang fenomena alam ini.  hihi.  Kita tanya kepada yang pakar.
Ada di sesetengah negeri terpaksa melaksanakan catuan air kerana kekurangan  air di kawasan mereka antaranya Perlis.  Di kawasan saya juga pernah di laksanakan catuan air iaitu pada tahun lepas selama sebulan.  Kami telah di beri jadual tarikh-tarikh yang di kenakan catuan.  Maka pada masa itu sediakan baldi sebelum hujan.  hihi
Senua harga baldi-baldi serta besen simpanan air melambung tinggi di kedai-kedai plastik pada ketika itu.

Sekian

Khamis, 24 Mac 2016

Resepi Kek Coklat Moist Kukus

Teks : Zahaartul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 24 Februari 2016

Assalamualaikum w.b.t

24hb Februari adalah hari ulangtahun kelahiran encik suami maka saya buatkan kek coklat yang simple sahaja.  Jom tengok resepi

Bahan A :
1 cawan tepung gandum
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil baking powder
(Semua bahan di atas tersebut di ayak)

Bahan B :
2 biji telur gred A
1 sudu kecil esen vanila

Bahan C :
1 cawan serbuk koko
1 cawan minyak jagung/ minyak masak
1 cawan gula pasir
1 cawan air (ganti susu cair)
1 cawan susu pekat
(satukan semua bahan masak atas api perlahan dan kacau sentiasa hingga sebati - tutup api)

Caranya :
Masukkan Bahan B bersama bahan C - kacau
Kemudian masukkan Bahan A - kacau sehingga halus tidak berbintil)
Oleskan loyang dengan minyak terlebih dahulu
Masukkan adunan ke dalam loyang atau acuan masing-masing 
Kukus selama 1 jam (kukusan hendaklah di panaskan terlebih dahulu baru masukkan adunan kek ya)

Ini pula resepi topping coklat
250 g coklat masakan
1/2 cup susu fullcream/ whipping cream
1 sudu besar butter
Cara :
Masak kaedah double boiler
Panaskan susu cair naik buih-buih kecil (padamkan api)
Patahkan dan cairkan coklat masakan dan masukkan susu tadi kacau sebati
Kemudian masukkan butter
Sesuaikan kemanisan ikut selera anda ye

Apabila kek sudah siap masak curahkan topping ke atas kek (nanti topping akan meresap ke dalam kek)
Ok apabila kek sudah sejuk boleh hias mengikut citarasa anda

Sekian.

Kek birthday encik suami a.k.a untuk anak-anak sebenarnya.  hihi
Sumber : Facebook




Isnin, 21 Mac 2016

Resepi Lempeng Lembut

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 21 Mac 2016

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah hari ini hendak kongsi resepi lempeng lembut sampai ke petang.  Sebenarnya saya tidak tahu masak lempeng tetapi suami minta tolong buatkan kerana dia demam baru-baru ini.  Maka saya pon mencari di pak cik google.  hihihi
Resepi lempeng pon nak google kan..sabar sahaja la kalau mak tahu ini.  hihihi
Saya buat dalam kuantiti yang sedikit kerana tidak berapa gemar tetapi bila sudah cuba masyaAllah sedap sangat tau.  Jadi kita simpan di blog semoga senang hendak mencari nanti.  Jom tengok bahan dan cara-caranya

Bahan-bahan :
1) 1 cawan tepung gandum
2) 1 cawan air masak
3) 1 biji telur
4) 1 sudu besar susu tepung (guna susu anak dutch lady)
5) Secubit garam
6) Sedikit minyak ( Agar lempeng tidak melekat di pan atau kuali )

Cara-cara :
1) Campurkan semua bahan dalam mangkuk (saya masuk dalam blender)
2) Kacau sebati jangan sampai berketul (Guna blender senang cepat.  hihi)
3) Adunan sedikit cair (Kalau hendak nipis,  buat agak cair.  Kalau hendak tebal tambah tepung) tapi sedap nipis garing-garing.
4) Panaskan pan atau kuali (Api perlahan)
5) Kemudian tuangkan adunan lempeng ke dalam pan dan lenggang ke kiri dan kanan supaya nipis.
6) Perhatikan bahagian tepi lempeng sekiranya terangkat sikit lempeng hampir masak dan angkat.  Buat sampai habis adunan.  Saya dapat dalam 8 keping untuk adunan 1 cawan tepung gandum.  Boleh gandakan adunan sekiranya hendak buat banyak.

Pesanan : Boleh cicah dengan sambil bilis atau sardin.  Terangkat sedap sangat

Sumber : Google

Khamis, 25 Februari 2016

Goodies Birthday Firdaus

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 11 Februari 2016
Foto : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat

Assalamualaikum.

Lama sungguh saya tidak berpeluang hendak update blog.  hahahaha
Apa sibuk benar saya ini agaknya.  Tahun ini Firdaus sudah enam tahun jadi dia hendak sambut birthday di sekolah.  Tahun lepas lagi dia hendak sambut di sekolah tetapi saya hendak sambut bersama keluarga di kampung.  Ini kerana hari lahirnya jatuh pada cuti raya cina.  Maaf ye abang Firdaus.  Jadi tahun ini tidak boleh mesti sambut di sekolah setelah cuti raya cina habis.  Kek sudah 2 minggu di tempah.  Tinggal goodies sahaja lagi.  Amboi panjang betul celoteh.  hihihi
Ok jom kita tengok gambar-gambar hendak buat goodies abang Firdaus.
Al kisahnya hendak letak air kotak dan dadih.  Tapi bila di fikirkan terlalu ramai pelajar maka saya batalkan.  Ini kerana peti ais kecil di rumah mana hendak letak dadih dan kek Firdaus lagi kan.
Jadi kita beli yang sudah siap dan mudah untuk di packing awal.

Bahan-bahan
1) Beg Kertas/pembalut letak goodies (Beli dekat SpeedMart 99 - Hanya RM3.50 ada 100 pcs)
2) Label/ tag atau stiker hendak letak di beg goodies
3) Gunting , gam dan solitap
4) Jajan 
Ini beg kertas goodies akak beli di SpeedMart 99
Cara-cara
1) Tag untuk letak dekat beg goodies buat sendiri je jimat.  Kalau banyak duit boleh tempah stiker.  Cari sahaja di pak cik Google semua keluar.  Saya minta encik suami print di tempat kerjanya.
Buat dalam microsoft word ya.  Ambil textbox dan taip apa sahaja.  Saya ambil banyak textbox untuk buat ayat tersebut.


Tag/ label hendak lekat di beg goodies.  Gunting ye.

2) Gunting tag yang sudah di print.  Tampal dekat beg kertas.  Buat sampai habis.


Tampal label 
3) Ok sudah siap masukkan jajan dan solitap beg kertas jajan.  Nanti terabur pulak jajan-jajan itu.  hihihi


Model sudah siapkan goodies dia.  hihi
Saya buat 90 bungkus untuk di beri kepada pelajar dan guru-guru sekolahnya.

Terima kasih tidak terhingga buat guru-guru Tadika Bina Kreatif tolong sambut birthday Firdaus.  Firdaus seronok sangat dia tolong bungkuskan jajan.





Selasa, 5 Januari 2016

Sport Day Firdaus

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat
Tarikh : 1 November 2015
Foto : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat



Assalamualaikum w.b.t

Setelah sekian lama tarikh untuk Hari Sukan di tunda kerana faktor cuaca (Jerebu) akhirnya anak-anak di Tadika Bina Kreatif berkesempatan juga walaupon tarikh hampir ke penghujung persekolahan.  Alhamdulillah.
Firdaus begitu teruja maklum sahaja ingin menunjukkan kehebatan.  hihihi
Sukan tersebut di adakan di Taman Perumahan Widuri.  Tidak jauh dari rumah kami.  Manakala rumah pasukan Firdaus adalah Rumah Oren.  Kali ini Firdaus sertai acara Lari Baraton,  Ulat Gonggok dan Tarik Tali.  Untuk acara lari baraton kumpulan Firdaus mendapat tempat ke tiga, ulat gonggok tempat pertama dan tarik tali tempat ke dua.
Alhamdulillah semua acara Firdaus mendapat hadiah.  Tidak sabar dia ingin membuka hadiah tersebut.
Secara keseluruhan kumpulan Oren mendapat tempat ketiga.   Acara sukan tamat jam 1 petang

Khamis, 3 Disember 2015

Hari Graduasi Pra Sekolah Firdaus

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat
Tarikh : 24 Oktober 2015
Foto : Zaharatul Laili Mat Sanat



Assalamualaikum.

Alhamdulillah berpeluang menghadiri hari graduasi pra sekolah si abang Muhammad Firdaus Bin Ismadi pada Sabtu lepas.  Majlis bermula jam 8.00 pagi hingga 1 petang.  Tema untuk hari tersebut adalah oren dan kuning.  
Saya sangat teruja ingin menyaksikan persembahan Firdaus maklum sahaja anak sulung.  Pada hari tersebut Firdaus membuat persembahan Dikir Barat,  Nasyid dan Muzikal secara berkumpulan bersama rakan-rakannya.
Lucu menyaksikan persembahan kanak-kanak seawal usia 4 tahun.  Pelajar di latih oleh guru mereka dengan teratur sekali.
Kata Firdaus tahun depan umurnya 6 tahun mahu bersekolah di Tadika Bina Kreatif lagi.  Almaklum sahaja guru dan kawan-kawan sudah di kenali.  In Sha Allah tahun hadapan Firdaus masih bersekolah di tempat yang sama.

Sekian.





Isnin, 26 Oktober 2015

Resepi Nugget Ala KFC

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat
Sumber : Facebook


Alhamdulillah hendak share resepi nugget ala-ala KFC hari ini.  Sedap sangat saya buat minum petang untuk anak-anak,  en suami pon suka.  hihi

Bahan-Bahan
1) 500 gram daging ayam kisar jenama Ramly (Jenama Ramly senang sikit membentuk) saya tambah daging ayam biasa potong kecil-kecil 
2) 1/4 cawan serbuk roti 
3) Sedikit Cornflakes (Kisar Halus) Saya guna nestum
4) Serbuk lada hitam dan garam sedikit
5) Telur 2 biji (Kacau seperti telur dadar)

Cara-cara
1) Satukan daging ayam,  serbuk lada hitam,  serbuk roti dan garam
2) Gaulkan sebati kalau lembik tambah serbuk roti
3) Bulat dan bentukkkan mengikut kreativiti
4) Celup dalam telur kemudian ke dalam serbuk conflakes or nestum dan celup semula dalam telur.
5) Buat sampai habis.  Goreng sampai kekuningan atau perang.

Pesanan : Dekat rumah tiada conflakes saya guna nestum sedap juga.
Serbuk roti saya buat sendiri.  Mudah sangat.
Bakar roti gardenia dalam 2 keping.  Jangan hangus pula ya.  
Kemudian racik-racikkkan dan blender ke dalam blender kering ya.

Yeay siap boleh makan cicah sos dan mayonis

Pesanan : Maaf gambar tidak dapat di sertakan
Telefon saya tidak dapat disambungkan dengan laptop

Ahad, 25 Oktober 2015

Berdikari

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat

Assalamualaikum,

Hari ini hendak kongsi sedikit perihal diri saya.  Saya adalah seorang yang sangat pendiam malah keluarga pon maklum tentang hal itu.  Saya jarang kongsi masalah saya bersama keluarga atau rakan. Selalunya akan saya pendam sahaja.  Di sekolah juga begitu kecuali dengan mereka yang betul-betul rapat sahaja.  Selalunya perbualan pasti orang lain yang akan mulakan dahulu.
Alhamdulillah rezeki saya dapat melanjutkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian Selandar., Melaka.  Semasa mendapat tawaran wang tidak mencukupi.  Memang semasa itu rasa terlalu sedih.  Wang simpanan saya ada sekitar RM1000.  Yuran pendaftaran RM800 ++.  Ini bermakna keluarga tidak dapat menghantar ke Melaka.  Perjalanan menyambil masa lebih kurang 3 jam.  Kami pula tiada kenderaan.  Hendak sewa kereta sudah berapa RM agaknya.
Kebetulan kakak berada di kampung ketika itu.  Jadi beliau merancang saya mengikutinya tetapi selepas itu saya perlu di tinggalkan di rumah ibu mertuanya di Melaka.  Ini kerana kakak ada hal ketika itu tidak dapat menghantar saya.  Jadi saya hanya perlu menaiki teksi dari Durian Tunggal ke Selandar.  Perasan sedih, takut, gementar semua ada kerana perlu berdikari ketika itu.  Saya perlu melalui sesi pendaftaran seorang diri.
Alhamdulillah keesokannya semasa hari pendaftaran saya di hantar oleh sebuah teksi betul-betul di hadapan bangunan pendaftaran.  Mata banyak tertumpu kepada saya kerana rata-rata pelajar pada hari itu di hantar oleh keluarga.  Ketika itu perasaan malu harus dikeluarkan.  Saya meminta  tolong pelajar senior yang bertugas pada waktu itu untuk menjaga beg-beg pakaian saya.  Sementara saya ke tempat pendaftaran.  Selepas selesai pendaftaran pelajar senior menunjukkan arah bangunan asrama yang agak jauh.  Saya perlu menaiki kenderaan untuk ke sana dengan keadaan beg yang besar.  Subahanallah semasa itu rasa hendak menangis mengenangkan nasib saya.  Alhamdulillah pelajar senior ketika itu mencadangkan saya bertanyakan sesiapa yang sudi untuk menumpangkan saya ke bangunan asrama yang jauhnya lebih 1 kilometer.
Ketika itu saya terpandangkan seorang rakan yang saya fikirkan boleh menumpangkan saya.  Alhamdulillah setelah berbincang dengan keluarganya kami ke bangunan tersebut.  Walaupon keretanya sudah penuh dengan ahli keluarga yang lain.  Kami berasak sedikit di dalam kereta.  Dan rakan saya itu juga menjadi rakan sebilik saya sepanjang pembelajaran kami di sana.  Alhamdulillah kami masih berhubung hingga sekarang.  Mana mungkin saya melupakan jasa baik mereka sekeluarga.
Manakala semasa minggu orientasi selama seminggu kami benar-benar di rangging oleh tenaga pengajar dan pelajar senior.  Ketika itu rasa hendak lari dari situ.  Bangun seawal jam 5 pagi dan tidur jam 1 pagi.  Sesiapa yang pernah belajar di institusi latihan pasti tahu bagaimana proses orientasinya. Kami di paksa jalan itik, pumping,  berlari tidak usah cakap tidak cukup tanah rasanya.hihi
Banyak benar pengalaman sepanjang di sana sememamgnya tidak dapat saya lupakan hingga kini.  Benar-benar mengajar saya erti kehidupan.
Yang paling saya suka apabila saya sudah mendapat pekerjaan perkara yang di ajar di sana banyak membantu saya untuk lebih berjaya.  Perasaan malu saya sudah di buang jauh-jauh.  Maklumlah hidup jauh dari keluarga.  Semua bermula dengan diri kita sendiri.  Doa, usaha dan tawakal
In sha Allah Dia ada bersama kita.

Selasa, 20 Oktober 2015

Tips Mengemas Rumah Wanita Berkerjaya

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat.

Assalamualaikum,

Pada hujung minggu biasanya para ibu pasti akan mengemas rumah kan.  Maklumlah hari-hari biasa masa sangat singkat.  Apabila pulang kerja tiba di rumah sudah jam 6.00 petang.  Alhamdulillah hari ini hendak kongsi sedikit cara mengemas rumah bagi wanita berkerjaya.
Sebenarnya menangguh kerja adalah tabiat yang tidak baik.  Tidak sesuai kalau hendak kemas rumah sebulan sekali kan.  Hendak menerima tetamu bertandang pon malu-malu.  Sekarang sudah ada beberapa tips mengemas rumah, hendak terima tetamu bertandang tidak perlu malu-malu lagi.

*********************************************************************************

1) Mengemas ketika anak-anak tidur atau tiada
Yang ini memang saya suka kalau anak-anak di bawa keluar oleh si ayah atau anak sudah tidur.  Saya akan menyambil peluang ini dengan sebaik mungkin.  Waktu mengemas tiada sesiapa yang kacau dan akan dilakukan dengan cepat sekali.  Boleh menyapu sampah, membuang habuk, memasak dan sebagainya

2) Basuh pakaian sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali seminggu.
Elakkan membasuh pakaian pada hujung minggu sahaja.  Pastikan pakaian di basuh apabila mesin basuh sudah muat muatannya.  Seperti saya pakaian di basuh sebanyak 3 kali seminggu.  Pastikan jadual membasuh adalah sama.  Contoh Isnin, Rabu, Jumaat.  Jadi hujung minggu boleh berjalan bersama anak-anak.hihi

3) Buat kerja dua dalam satu.
Yang ini sambil basuh baju boleh memasak atau menyapu sampah di luar rumah.  Jadi apabila baju sudah siap di basuh boleh terus sahaja sidai kan.  Masa pon dapat dikurangkan.

4) Cara urus kain baju
Pastikan baju yang perlu di seterika di sangkut contoh seperti baju kurung dan kemeja.  Jadi apabila baju sudah kering terus masuk ke dalam almari.
Saya selalu lipat baju ketika menonton rancangan kegemaran.  Sedar-sedar baju sudah siap di lipat dan rancangan televisyen sudah tamat.hihi

5) Kemas dari atas ke bawah.
Pastikan mengemas dari atas ke bawah.  Contoh rumah dua tingkat mulakan di bahagian atas dahulu.
Buang habuk-habuk yang berada di atas siling dan kipas.  Kemudian baru sapu habuk di bawah.

6) Mengemop lantai.
Mengemop tidak perlu dilakukan setiap hari cukup seminggu hanya sekali atau tunggu 2 minggu sekali.hihi.  Anggap sahaja mop sambil bersenam dapat buang lemak di badan. hihi
Saya gunakan Basic H dari Shaklee sangat jimat hanya gunakan beberapa titik dan lantai kelihatan berkilat.  Selain itu ia tiada bahan kimia sesuai untuk bayi yang merangkak.  Hendak dapatkan produk ini boleh google ye kerana saya bukan ahli.  Saya mendapatkannya melalui rakan sekerja dahulu.

7) Gunakan mesin bantuan.
Di zaman maju sekarang bermacam produk di sediakan.  Guna sahaja robot-robot seperti mesin basuh, vacum dan seumpamanya.  Kerja kita akan jadi lebih mudah kan.
Sekarang mesin cuci pinggan pon sudah ada.

Jangan jadikan alasan untuk mengemas rumah.  Pada saya kita memerlukan disiplin yang tinggi untuk melakukannya.






Rabu, 7 Oktober 2015

Keperluan Dan Kehendak

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat
Foto : Zaharatul Laili Mat Sanat

Sebahagian koleksi tudung Aidijuma

Assalamualaikum.
Alhamdulillah hari ini baru dapat mengemaskini blog.  Kalau rumah sudah berdebu dan bersawang.hihi
Sebelum raya haji baru-baru ini saya berkesempatan melawat nenda di Parit Buntar,Perak.  Selepas itu pulang semula ke rumah bonda di Muadzam Shah,Pahang untuk menyambut hari raya korban disana.  Sekembali semula di rumah kami di rawang,Selangor anakanda Firdaus pula tidak sihat, cirit birit dan muntah-muntah.  Makanya selama 2 minggu saya tidak berkesempatan mengemaskini blog ini.
Maaf kita kembali ke tajuk utama hari ini.  Saya hendak kongsikan mengenai pengalaman saya sendiri. Pada tahun lepas bulan September 2014 saya adalah salah seorang peminat tegar tudung Aidijuma. Pada masa itu saya akan mendapatkan tudung tersebut daripada penjual yang mengambil upah sekitar RM2 - RM5 sahaja.  Saya hanya akan membeli paling mahal pada harga bawah RM50 kerana setiap tudung Aidijuma mempunyai label dan kualiti tudung juga bergantung pada harga.
Setiap bulan saya akan menghabiskan lebih kurang RM100 lebih untuk tudung tersebut.  Mana tidaknya setiap minggu keluar design yang menarik memikat hati.  Nafsu pada ketika itu sukar dikawal.  
Alhamdulillah semakin lama keinginan untuk mendapatkan tudung Aj semakin pudar kerana kesukaran untuk mendapatkan dan harga upah semakin meningkat.  Saya berhenti membeli pada Ogos 2015 itu kerana saya sudah berhenti kerja maka tidak perlu tudung yang sudah kian menggunung di dalam almari.
Sepanjang menjadi peminat tudung tersebut duit gaji banyak dihabiskan untuk kepentingan sendiri. Pakaian anak-anak pula jarang di beli.  Saya bernasib baik kerana suami tidak mengongkong perbelanjaan saya.  Sememangnya hutang pemiutang semua suami yang bayar maka saya bebas berbelanja dengan gaji sendiri.  Sekarang sudah menjadi suri rumah semua harus dikawal.   
Jadi pada Septemper 2015 saya mengambil keputusan menjual sebahagian tudung-tudung tersebut. Untuk pengetahuan semua tudung Aidijuma mempunyai value tersendiri kerana setiap keluaran tidak akan di ulang dan sangat limited.
Saya menjual di dalam group FB tudung Aidjuma dengan harga sekitar RM7 hingga RM40.  Dengan jualan tersebut saya mendapat hampir RM500.  Itu hanya sebahagian tudung di jual kalau semua anggaran mungkin 1 ribu.  Astagfirullahhal'azim banyak betul wang dibelanjakan untuk tudung tersebut.  Alhamdulillah dengan wang tersebut saya membuat modal menjual handsock keluaran elDURRA EXCLUSIVE.
Setelah menjadi suri rumah keinginan membeli harus saya kawal kerana perbelanjaan semua suami yang tanggung.  Saya perlu mendahului keperluan daripada kehendak kerana ia adalah nafsu semata-mata.  Amalan berjimat cermat adalah perkara yang paling mulia.

Selasa, 8 September 2015

Pertandingan "LIKE" dan "SHARE"

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat.
Foto : Zaharatul Laili Mat Sanat.
Bismillah.  Alhamdulillah.


Pada hari ahad yang lepas, saya mengadakan pertandingan "LIKE" dan "SHARE" untuk teman teman facebook untuk mendapatkan handsock sweet candy secara percuma.

Saya adalah agen berdaftar bagi produk-produk Eldurra Exclusive.  In sha Allah selepas ini banyak lagi produk-produk yang akan kami keluarkan termasuk jubah dan inner shawl.

Tujuan produk kami diwujudkan adalah untuk menggalakkan muslimah menutup aurat seperti yang telah ditetapkan oleh syariah.  Selain itu kami juga membantu individu yang berminat untuk berjuang bersama kami sebagai agent atau orang tengah (drosipper).

Keputusan saya mengadakan pertandingan tersebut adalah untuk menarik minat orang ramai dengan produk kami.  Selain itu ia adalah strategi saya untuk melariskan jualan.

Alhamdulillah sambutan menggalakkan ramai yang 'like' , komen dan 'share'.  Secara tidak langsung ia dapat dilihat di wall facebook individu yang kongsi post saya tersebut.  Doa saya semoga produk kami terus di kenali ramai dan berjaya untuk memupuk minat muslimah menutup aurat mengikut syariah agama Islam mengikut peredaran masa sekarang.  In sha Allah

Tahniah. Pemenang pertandingan kali ini ialah Puan Nur Faizatul Farhana.

Untuk dapatkan Handsockcoveraurah atau berminat menjadi agen dan drossiper boleh hubungi saya melalui 019 6363401

♥Material lembut tidak tebal dan tidak terlalu nipis.
♥kegemilangan wanita anggun 

Sabtu, 5 September 2015

Denda


Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat

Hari ini, pulang dari sekolah Firdaus terus menuju ke peti ais untuk mengambil air.  Apabila disuruh membuka baju dahulu jawabnya, hari ini letih kena denda dengan "teacher".  Saya bertanya kenapa, kena denda ke? Firdaus jawab tadi dia buat bising, kena berdiri hingga habis waktu pulang sekolah.  Saya beritahu dia, esok sampai habis sekolah jangan buat bising lagi perlu dengar cakap "teacher".  Firdaus hanya menggangguk.

Pendapat saya,  Firdaus dan rakan - rakan memang perlu diberi pengajaran.  Itu perkara biasa,  saya dahulu seusia Firdaus juga pernah didenda.  Cuma alasan yang berbeza.  Saya didenda kerana tidak dapat menghafal sesuatu pelajaran pada hari tersebut.  Alhamdulillah selepas di denda saya akan pastikan perkara tersebut tidak akan berlaku.  Ini kerana pada masa itu,  sikap malu pada rakan-rakan sudah ada.

Firdaus bukanlah seorang anak yang terlalu aktif.  Dia masih boleh disuruh untuk buat kerja sekolah dan mengemas mainannya.  Seperkara yang saya paling suka, Firdaus memang tidak pernah liat untuk bangun ke sekolah.  Alhamdulillah,  mungkin kerana saya berkerja pada waktu itu jadi tiada alasan untuk Firdaus tidak ke sekolah.

Firdaus boleh berdikari dan diharap untuk menjaga adik sekiranya saya memasak.  Mungkin juga kerana sikap saya terlalu garang.  Garang saya untuk mendidik anak-anak.  Semoga Firdaus dan Aqilah menjadi anak yang berguna,  berjaya dunia dan akhirat.  Amin

Ayam Tandoori Rangup.


Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat
Foto : Zaharatul Laili Mat Sanat

Hari ini masak menu mudah untuk si abang.  Sebenarnya ini resepi dari ayam goreng buttermilk.  Saya telah ubah suai sedikit kerana di rumah tiada susu cair.  Jadi saya hanya menggoreng.  In sha Allah, saya kongsikan resepi ayam goreng buttermilk.

Bahan-bahannya
1) Ayam untuk 4 orang makan (telah dipotong kecil)
2) serbuk ayam tandoori
3) 2 sudu tepung jagung
4) 2 sudu tepung gandum
5) daun kari
6) minyak untuk menggoreng

Cara-caranya :
1) Gaulkan ayam bersama serbuk tandoori (gaul sekata) - serbuk ini telah sedia masin, jadi tidak perlu letak garam.
2) Campurkan tepung jagung dan tepung gandum tadi.  Gaul sekata.
3) Masukkan minyak.  Tunggu panas dan kemudian goreng bersama daun kari.

Alhamdulillah Firdaus memang suka yang rangup-rangup.  Selamat mencuba.

Selasa, 1 September 2015

Nikmat Seorang Suri Sepenuh Masa.

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat.

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah.  Hari ini secara rasmi menjadi surirumahtangga sepenuh masa.  Sememangnya pada hari ini sama seperti hari minggu yang lain cuma yang membezakan tidak perlu terkejar-kejar untuk bersiap ke tempat kerja.  Selepas solat subuh, saya terus sahaja menyiapkan si abang untuk ke sekolah.  Sarapan abang hanya roti dan susu segar.  Si abang,  Muhammad Firdaus pertama kali ke sekolah menaiki van sekolah.  Sebelum ini, kami yang menghantar si abang dan pulang pula kami akan mengambilnya di taska.  Hari ini juga selepas tamat sekolah abang akan terus pulang ke rumah.

Selepas si abang ke sekolah, saya dan suami keluar bersarapan bersama si adik.  Selesai sarapan, kami singgah di rumah pengasuh yang berhampiran untuk menyelesaikan bayaran dan berbual-bual sebentar.  Si adik, Nurfaiqa Aqilah berumur setahun lima bulan seperti memahami yang dia tidak lagi akan ditinggalkan dengan pengasuh.  Aqilah tidak mahu didukung oleh pengasuh, hanya mahu menyelit di tepi ibu dan ayah.  Sedangkan sebelum ini, dia yang paling laju menghulur tangan hendak didukung oleh pengasuh.

Alhamdulillah rezeki, pengasuh memberi lauk paru masak rendang cili api.  Pulang dari rumah pengasuh hanya perlu memasak makanan si abang dan adik sahaja.  Kerja di rumah dijalankan seperti biasa, menyidai baju yang telah siap dibasuh, mengemas rumah dan memasak sementara menunggu si abang pulang dari sekolah.

Apabila ditanya pada si abang, seronok atau tidak ibu berada di rumah, jawapannya seronok.  Makan minumnya sudah tersedia, kerja sekolah pula boleh disiapkan awal.  Alhamdulillah, saya bertambah seronok kerana tidak perlu memikirkan kerja di pejabat.

Fikiran saya kosong pada hari ini, semua sudah diepaskan.  Tidak perlu memikirkan kerja-kerja tertangguh dan berhubung dengan pelanggan dan pembekal lagi.  Semua kerja-kerja di pejabat sudah dilepaskan kepada pekerja baru yang menggantikan saya.  Semua ilmu telah diturunkan kepadanya selama sebulan.  Semoga ilmu tersebut bermanfaat.

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah, diberi peluang menjadi surirumahtangga sepenuh masa.  Suami serta anak-anak bertambah gembira, semua telah tersedia apabila pulang dari sekolah dan tempat kerja.

In sha Allah, selepas ini saya akan mengemaskini blog dengan aktiviti-aktiviti harian, pengalaman, menu-menu ringkas, tips mengemas rumah dan sebagainya.  Semoga saya berjaya dengan kerjaya baru sekarang.


Khamis, 27 Ogos 2015

Kehidupan

Teks : Zaharatul Laili Bt Mat Sanat.
Foto : Koleksi Peribadi.
Alhamdulillah...
Hari ini 28/8/2015, Jumaat adalah hari terakhir saya berkerja di Syarikat Burnmark Industries Sdn Bhd.  Setahun di Burnmark Shah Alam dan enam tahun di Burnmark Bukit Sentosa, Rawang.
Manakala 2 tahun di Jabatan Logistik dan 5 tahun di Jabatan Perniagaan.

Saya mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga apabila suami bercadang untuk menukar kerja lain.  Jadi kami sepakat agar saya menjaga ank-anak di rumah kerana suami akan sering ke luar negara atas urusan perniagaannya.  Jadi lebih sesuai saya menjaga anak-anak dan memberi penuh perhatian kepada pembelajaran si abang yang sudah berumur lima tahun.

Sedih dengan keputusan diambil...jawapan saya tidak kerana itu impian saya dan pada saya itu juga impian mana-mana ibu yang ingin melihat anak-anak membesar di depan mata.  Alhamdulillah impian saya termakbul dengan izin Allah.  Rezeki kami.  Benar rezeki itu luas tidak kisah sedikit atau banyak.
Allah lebih mengetahui, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Semoga saya berjaya mendidik anak-anak dengan tangan saya sendiri.  Menjadi penyabar dengan karenah mereka yang kian membesar.  Bersabar dengan kehidupan baru saya selepas ini.  Berjaya dengan Akademik Bekerja Di Rumah (ABDR)..banyak ilmu yang perlu saya belajar.
Sambil mengisi masa lapang saya.  Alhamdulillah..
Terima Kasih Allah.
Terima kasih juga rakan seperjuangan.


Khamis, 20 Ogos 2015

Salam Perkenalan

Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat.

Assalamualaikum w.b.t...
Bismillahhirahmanirrahim..

Alhamdulillah syukur segala puji bagi Allah memudahkan urusan dan ilham untuk saya memulakan blog ini.Sejujurnya saya tidak pandai untuk menulis di blog In sha Allah dengan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) serta guru-guru bertauliah dapat untuk saya menambah ilmu dan kita sama-sama berkongsi ilmu sedia ada.

Salam perkenalan saya hulurkan untuk sahabat semua.Terlebih dahulu saya kenalkan diri saya.Nama penuh saya Zaharatul Laili Binti Mat Sanat mesra dipanggil kak Elly oleh keluarga.Anak ke tujuh dari sembilan adik beradik.Di lahirkan di Perak dan selepas 5 bulan dilahirkan kami sekeluarga terus berpindah ke Rancangan Felda di Pahang.Seorang ibu kepada sepasang cahaya mata.Alhamdulillah diberi peluang menjadi suri In sha Allah, awal September ini.Sesuai sekali dengan tajuk blog yang telah di pilih “Jurnal Suri Di Rumah”

Saya memiliki Sijil Tahap 3 dalam bidang Pengaturcara Komputer di Institut Latihan Perindustrian Selandar,Melaka.Selepas tamat praktikal saya mendapat pekerjaan dengan syarikat automotif di Shah Alam.Sememangnya jauh tersasar dari bidang pembelajaran yang saya ambil.Tetapi pekerjaan saya lebih kepada dokumentasi dan pemfailan jadi tiada masalah yang besar di situ.

Saya tiada pengalaman khusus dalam perniagaan.Walaupon pernah berniaga kecil-kecilan menjual makanan sunnah seperti kopi,habatusauda dan tudung Aidijuma yang sangat menjadi ‘Trend’ pada waktu itu tetapi semuanya dalam jangka masa yang singkat.Ini kerana kesusahan untuk mendapatkan stok yang telah disekat oleh pihak HQ.Mungkin itu strategi perniagaan mereka kerana saya bukanah pembekal sah berdaftar dengan mereka.Saya mengambil stok dari orang tengah.

Saya sangat suka mengumpul resepi-resepi dessert.Minat tersebut memang disokong oleh suami dan anak-anak kerana mereka juga menyukainya apabila saya mencuba resepi tersebut.Selain itu saya gemar mengemas rumah.Memang pantang pada mata saya kalau melihat rumah bersepah..hihi…

Sebelum mengertai ABDR saya tiada blog dan fanpage yang khusus.

Bahan bacaan pula saya gemar membaca novel yang berbentuk kekeluargaan atau majalah Mingguan Wanita  yang sememangnya banyak ilmu terkandung dalam majalah tersebut.

Saya berharap dengan menyertai Akademik Bekerja Di Rumah (ABDR) dan blog ini dapat saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan lebih sistematik dan teratur.Serta dapat menambah pendapatan keluarga dengan keadaan ekonomi negara yang sangat meruncing ketika ini.