Teks : Zaharatul Laili Mat Sanat.
Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah. Hari ini secara rasmi menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Sememangnya pada hari ini sama seperti hari minggu yang lain cuma yang membezakan tidak perlu terkejar-kejar untuk bersiap ke tempat kerja. Selepas solat subuh, saya terus sahaja menyiapkan si abang untuk ke sekolah. Sarapan abang hanya roti dan susu segar. Si abang, Muhammad Firdaus pertama kali ke sekolah menaiki van sekolah. Sebelum ini, kami yang menghantar si abang dan pulang pula kami akan mengambilnya di taska. Hari ini juga selepas tamat sekolah abang akan terus pulang ke rumah.
Selepas si abang ke sekolah, saya dan suami keluar bersarapan bersama si adik. Selesai sarapan, kami singgah di rumah pengasuh yang berhampiran untuk menyelesaikan bayaran dan berbual-bual sebentar. Si adik, Nurfaiqa Aqilah berumur setahun lima bulan seperti memahami yang dia tidak lagi akan ditinggalkan dengan pengasuh. Aqilah tidak mahu didukung oleh pengasuh, hanya mahu menyelit di tepi ibu dan ayah. Sedangkan sebelum ini, dia yang paling laju menghulur tangan hendak didukung oleh pengasuh.
Alhamdulillah rezeki, pengasuh memberi lauk paru masak rendang cili api. Pulang dari rumah pengasuh hanya perlu memasak makanan si abang dan adik sahaja. Kerja di rumah dijalankan seperti biasa, menyidai baju yang telah siap dibasuh, mengemas rumah dan memasak sementara menunggu si abang pulang dari sekolah.
Apabila ditanya pada si abang, seronok atau tidak ibu berada di rumah, jawapannya seronok. Makan minumnya sudah tersedia, kerja sekolah pula boleh disiapkan awal. Alhamdulillah, saya bertambah seronok kerana tidak perlu memikirkan kerja di pejabat.
Fikiran saya kosong pada hari ini, semua sudah diepaskan. Tidak perlu memikirkan kerja-kerja tertangguh dan berhubung dengan pelanggan dan pembekal lagi. Semua kerja-kerja di pejabat sudah dilepaskan kepada pekerja baru yang menggantikan saya. Semua ilmu telah diturunkan kepadanya selama sebulan. Semoga ilmu tersebut bermanfaat.
Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah, diberi peluang menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Suami serta anak-anak bertambah gembira, semua telah tersedia apabila pulang dari sekolah dan tempat kerja.
In sha Allah, selepas ini saya akan mengemaskini blog dengan aktiviti-aktiviti harian, pengalaman, menu-menu ringkas, tips mengemas rumah dan sebagainya. Semoga saya berjaya dengan kerjaya baru sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan